Sunday, February 11, 2007

Rawatan alternatif

Rawatan untuk mengatasi sihir atau akibat jin-jin dengan pertolongan jin-jin diistilahkan sebagai “an-nusyrah”. Ia adalah dilarang dalam Islam.

Secara ringkas rawatan kepada gangguan sihir atau akibat jin-jin boleh dilakukan dalam 3 kaedah.

# Kaedah pertama:

Meminta pertolongan pengamal yang mahir.

Tetapi perlu diingat, tidak mudah membezakan rawatan yang menggunakan kaedah yang diharuskan oleh syarak dengan rawatan melibatkan makhluk-makhluk jin.

Allah s.w.t. menjelaskan dalam surah Jin: 6 bermaksud: Dan bahawasanya ada beberapa orang lelaki di antara manusia meminta perlindungan kepada beberapa lelaki (rijal) di antara jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesalahan.

Allah s.w.t. juga menjelaskan bahawa syaitan itu adalah musuh yang jelas. Dalam keadaan apa sekalipun makhluk berkenaan adalah musuh.

# Kaedah kedua:

Rawat diri sendiri.

Ia memerlukan penguatan roh diri. Apabila roh kuat, maka iblis dan syaitan itu tidak akan berupaya menyakiti seseorang. Kekuatan roh merupakan ketahanan.

Caranya ialah dengan bertakarub atau menghampirkan diri kepada Allah iaitu dengan:

(i) melakukan amalan-amalan sunat,
(ii) dilakukan secara berterusan,
(iii) sehingga dapat tahap dikasihi Allah,
(iv) apabila seseorang itu menjadi kekasih Allah, Allah akan memberi kekuatan kepadanya.
(v) ketika itu Allah akan memberi “karamah” (kemuliaan) kepadanya. Segala permohonannya diperkenankan Allah dan diberi pertolongan kepadanya.

Walaupun demikian, tidak semua orang boleh mencapainya. Ini disebabkan pra-syarat untuk mencapai tahap tersebut memerlukan ibadah atau bertakarub kepada Allah ditambah dengan kesempurnaan sembahyang, membaca al-Quran dan tahu membaca doa.

Simptom seseorang itu diganggu dengan sihir atau jin-jin adalah:

Apabila seseorang melakukan kaedah ini ketika sakit ia tidak berupaya melakukan sembahyang, membaca doa atau ataupun ayat-ayat al-Quran dan sebagainya.

Badan menjadi sakit ketika hendak sembahyang malam, mengantuk tidak boleh membuka mata, terasa lenguh longlai, sakit kepala yang bersangatan dan sebagainya.

Semakin ia banyak berusaha untuk berdoa, sakitnya menjadi lebih teruk. Hilang ingatan, mengilai, menjerit dan menangis. Malah ada mangsa yang terjelir lidahnya memanjang keluar apabila ia terus-menerus melawan dengan terus membaca doa. Ada pesakit yang terasa lehernya tercekik ketika sedang berdoa.

Menjadi fobia tidak mahu membaca al-Quran, membaca doa dan seumpamanya, takut atau tidak mahu sembahyang, melarikan diri apabila mendengar azan ataupun membaca ayat-ayat suci.

# Kaedah ketiga:
Pertolongan orang yang arif dan disamping itu diikuti dengan merawat diri sendiri seperti kaedah kedua.

Adalah penting bagi seseorang itu belajar atau berguru. Bukan semata-mata berpandukan kepada buku. Ini perlu untuk memberi keyakinan dalam diri dan adanya tempat rujukan apabila timbul masaalah.

Kaedah ini merangkumi amalan seperti berikut:

(i) sembahyang taubat yang diikuti dengan beristighfar,
(ii) sembahyang tasbih
(iii) sembahyang tahajud,
(iv) sembahyang witir
(v) zikir,
(vi) berdoa dengan al-Asma al-Husna
(vii) selawat ke atas nabi
(viii) sembahyang hajat.

Rangkaian amalan ini hendaklah dilakukan pada waktu mustajab, iaitu pada satu pertiga malam terakhir, lebih kurang bermula pukul 3 pagi sehingga subuh. Allah menjanjikan kemakbulan doa
pada waktu itu dan keampunan bagi yang memohon keampunan.

Dirikan sembahyang taubat dua rakaat kemudian mohon keampunan (beristighfar) sekurang-kurangnya 100 kali. Sebutan istighfar tersebut bermaksud: Aku memohon keampunan kepada Allah yang maha agung, yang tidak ada Tuhan, kecuali Allah. Dia yang hidup lagi perkasa dan aku bertaubat kepada-Nya yang diakhiri dengan bacaan sayyidu ‘l-istighfar (penghulu istighfar).

Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa barang siapa selalu memohon keampunan, Allah jadikan baginya jalan keluar daripada setiap kesempitan, kelapangan dan daripada setiap dukacita, kegembiraan dan Allah memberinya rezeki yang tidak terkira.

Setelah itu lakukan sembahyang tasbih yang diikuti dengan sembahyang tahajud. Allah memuliakan hamba-Nya yang mendirikan sembahyang malam (tahajud) dengan lima perkara

(i) memeliharanya daripada bencana
(ii) akan lahir berkat ketaatan
(iii) dicintai oleh hamba Allah yang soleh
(iv) lidahnya bertutur dengan kata-kata hikmat
(v) Allah menjadikan dia daripada golongan orang yang bijak dan mudah menerima ilmu.

Abu Hurairah menjelaskan, Rasulullah bersabda menyatakan setiap urusan penting yang tidak dimulakan dengan puji-pujian terhadap Allah dan selawat, maka urusan itu hilang keberkatannya. Barang siapa berselawat sehari 100 kali, Allah menyempurnakan baginya
100 hajat, 70 untuk akhirat, 30 lagi untuk dunianya.

Baginda juga bersabda: Bahawasanya doa itu terhenti (mauguf) di antara langit dan bumi, tidak naik darinya sedikitpun, sehinggalah engkau berselawat ke atas nabimu.

Terdapat beberapa kaedah untuk melakukan sembahyang hajat. Untuk melakukannya seseorang itu boleh merujuk kepada mereka yang alim, di mana ia melibatkan doa kepada yang Maha Esa.

Berdoa perlu dilakukan dalam keadaan menghadap kiblat, mengangkat kedua-dua belah tangan bagi yang berdoa dalam keadaan duduk, kemudian sapu ke muka setelah sempurna berdoa, khusyuk dan tadaru, rasa rendah diri, dengan suara antara kedengaran dan tidak, yakin Allah akan memperkenankan doa yang dipohon dan bukan sambil lewa dan berulang-ulang kali.

Berdoa adalah tanggungjawab manusia manakala kemakbulannya urusan Allah. Jangan berdoa seolah-olah memaksa Allah menunaikan apa yang diminta dengan segera kerana ia terkeluar daripada adab doa.

Biar dalam keadaan apa sekalipun, panduan ini perlu diikuti, iaitu

(i) jangan melakukan dosa pada waktu siang dan malam. Dosa itu mengeraskan hati dan mendinding rahmat. Dalam keadaan seperti ini seseorang itu perlu memperbanyakkan taubat.
(ii) Tidur sebentar di siang hari untuk merehatkan badan
(iii) jangan banyak makan dan minum
(iv) jangan bekerja terlalu kuat di siang hari
(v) tidur dalam keadaan mengiring ke kanan
(iv) tidur awal dan niat untuk bangun beribadah. Sekiranya seseorang itu berniat bangun beribadah, tetapi dikuasai tidur sehingga subuh, Allah mencatatkan baginya pahala amalan yang diniatkan. Tidurnya adalah sedekah daripada Allah
(vii) tidur dalam keadaan berwuduk.

Rujukan: Dr Amran Kasimin

0 Comments:

Post a Comment

<< Home