Wednesday, February 14, 2007

Berdoalah!

Firman Allah: Aku sangat hampir (kepada mereka) Aku menyambut permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku.

Beberapa adab berdoa, antaranya:

1. Berdoa dengan penuh keikhlasan dan pengharapan kepada Allah s.w.t.

2. Memulakan dengan pujian kepada Allah s.w.t dan diikuti dengan selawat ke atas Rasulullah s.a.w.

3. Menutup doa dengan pujian kepada Allah s.w.t dan selawat kepada Rasulullah s.a.w.

Imam al-Nawawi berkata bahawa para ulama telah sepakat (ijmak) bahawa doa itu dimulai dengan kalimah memuji Allah s.w.t kemudian selawat kepada Rasulullah s.a.w. Demikian juga penutup doa, diakhiri dengan pujian dan selawat. (Al-Azkar dalam Bab Pembukaan dan Penutup Doa. Ibn Hajar mengatakan sanadnya adalah jayyid, (Sahih al-Tirmizi).

4. Berdoa dengan khusyuk, tadharru’ dan disertai dengan penuh pengharapan.

5. Berdoa dengan sabar menanti dimakbulkan Allah s.w.t.

6. Tidak berdoa untuk keburukan seperti kecelakaan dan memutuskan silaturrahim.

7. Berdoa dengan mengucapkan Ya Rabb sebanyak tiga kali.

Dari riwayat daripada Atha’ r.a beliau berkata:
Tidaklah seseorang hamba mengatakan Ya Rabb sebanyak tiga kali melainkan Allah s.w.t akan mendengar akan permintaannya.

Al-Imam Malik pernah ditanya tentang panggilan kepada Allah s.w.t dalam doa tentang wajarkah atau tidak diseru dengan nama Sayyid. Jawab beliau:
Katakanlah: Ya Rabb, kerana itulah panggilan para nabi a.s kepada Allah s.w.t dalam munajat mereka. (Fiqh al-Doa: Bab Doa Makbul).

8. Mengadap kiblat. Mengangkat kedua-dua belah tangan semasa berdoa kerana berdasarkan dalil: Anas bin Malik.

9. Berdoa dalam keadaan berwuduk.

10. Menyeru Allah s.w.t dengan nama-namanya yang mulia iaitu Asmaulhusna.

11. Bertawasul dengan amal soleh yang pernah dilakukan.

12. Makanan dan minuman mestilah dari sumber yang halal dan bersih.

13. Hendaklah melakukan amal makruf dan nahi mungkar.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
Demi Allah s.w.t yang jiwaku berada dalam tangan-Nya hendaklah kamu menyeru kepada yang makruf dan mencegah daripada melakukan perkara yang mungkar. Jika kamu tidak melakukannya Allah s.w.t akan menurunkan seksa kepada kamu dan apabila kamu berdoa kepadanya nescaya tidak akan dimakbulkan. Hadis ini diriwayatkan oleh al-Turmuzi dan dianggap sebagai hasan.

14. Menghimpunkan kesemua anak jari melainkan ibu jari ini berdasarkan sebuah hadis sahih.

15. Menyapu muka dengan tangan setelah selesai berdoa.

Dalilnya Ibn Abbas berkata:
Apabila kamu memohon kepada Allah s.w.t mohonlah dengan tapak-tapak tangan dan jangan memohon dengan belakang tapak tangan kamu dan sapulah muka kamu dengan tapak tangan kanan. (riwayat Abu Daud, Ibn Majjah dan al-Hakim).

Saad bin Majid menceritakan daripada bapanya memberitahu bahawa apabila Rasulullah berdoa, baginda akan menadah kedua belah tapak tangannya, kemudian menyapu dengan kedua belah tangan tersebut. Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Daud.

Umar bin Al-Khatab pula menceritakan, apabila baginda mengangkat kedua belah tangannya ketika berdoa, baginda tidak akan menjatuhkannya sehinggalah disapu mukanya dengan kedua belah tangan tersebut. Hadis ini diriwayatkan oleh al-Tirmizi dan al-Hakim.

16. Mengaminkan doa yang dibaca.


Rujukan:
*101 Doa Para Nabi dan Rasul dalam al-Quran; Khasiat dan Kaifiat Beramal oleh Zahazan Mohamed.

* DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

0 Comments:

Post a Comment

<< Home