Bersederhana melakukan umrah
Bersama Tabung Haji
ALLAH berfirman yang bermaksud: “Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah.”– (Surah al-Baqarah, ayat 196)
Sabda Rasulullah yang maksudnya: “Di antara satu umrah dengan satu umrah yang lain itu adalah penebus dosa di antara tempoh kedua-duanya dan haji yang diterima (mabrur) itu tiada balasannya melainkan syurga.” – (Hadis riwayat al-Bukhari)
Dua nas di atas menggambarkan kewajipan haji dan umrah serta kelebihannya. Ini bertepatan dengan huraian hadis berkenaan kewajipan haji dan umrah serta kelebihannya dalam huraian kitab muktabar Sahih Bukhari atau Sahih Muslim.
Pengertian haji dari segi bahasa mengqasadkan sesuatu. Haji dalam istilah syarak ialah mengqasadkan dalam hati untuk mengunjungi kaabah bagi pekerjaan nusuk di Baitullah Al-Haram dalam bulan haji kerana mengerjakan tawaf, saie dan wuquf di Arafah menurut syaratnya serta menunaikan segala wajibnya.
Umrah dari segi bahasa bermakna ziarah, manakala pada istilah syarak, menziarahi Baitullah Al-Haram kerana mengerjakan tawaf, saie dengan menurut syaratnya serta menunaikan segala wajibnya.
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Wahai manusia, telah difardukan ke atas kamu haji. Bertanya seorang lelaki adakah setiap tahun ya Rasulullah. Maka Nabi diam, sehingga lelaki itu bertanya sebanyak tiga kali. Maka Rasulullah bersabda: Jika aku berkata ya, nescaya akan diwajibkan ke atas kamu (setiap tahun) dan kamu sekali-kali tidak mampu untuk menunaikannya.”
Dapat difahami, fardu haji cuma sekali seumur hidup. Walau bagaimanapun wajib ibadat haji di dalam Mazhab Syafie boleh dikemudiankan. Kefarduan umrah pula adalah sama seperti wajib haji.
Ulama berbeza pendapat mengenai bila haji difardukan dan pendapat paling tepat, haji diwajibkan pada tahun keenam Hijrah. Adapun Nabi SAW menunaikan fardu haji pada tahun ke-10 Hijrah.
Dalam Mukhtasar Sahih Bukhari karangan Imam Zainudin Ahmad Abdul Latif al-Zubaidi terbitan Dar al-Nafais meriwayatkan: Anas pernah ditanya berapa kali Nabi SAW melakukan umrah. Beliau menjawab empat kali. Sekali ketika mengerjakan umrah di Hudaibiah yang ditegah oleh musyrikin Makkah, sekali pada tahun selepasnya juga di dalam bulan Zulkaedah seperti dalam perjanjian Hudaibiah. Sekali umrah di Ja’ranah ketika pembahagian rampasan perang Hunain.
Bara’ bin A’zib pula meriwayatkan Rasulullah SAW menunaikan dua kali umrah dalam bulan Zulkaedah sebelum menunaikan haji pada tahun wada’.
Percanggahan antara dua perawi di atas menampakkan seolah-olah Nabi SAW membuat umrah sebanyak lima kali, tetapi apabila dibuat pemerhatian dapat dirumuskan Nabi SAW membuat umrah secara sempurna sebanyak empat kali.
Sekali selepas setahun perjanjian Hudaibiah, sekali ketika pembahagian rampasan perang Hunain dan dua kali ketika baginda menunaikan haji Akbar tahun ke-10 Hijrah. Umrah Nabi SAW yang pertama tidak dikira kerana ihsar atas tegahan kaum musyrikin Makkah.
Rentetan kisah di atas juga, miqat niat umrah boleh dilakukan di Hudaibiah, Ja’ranah dan Tanaim.
Dapatlah kita mengambil pelajaran bahawa pekerjaan umrah satu ibadat dituntut dan bersederhana ketika menunaikannya. Dikhuatiri melakukan ibadat umrah dengan cara melampau seperti melakukan dua kali sehari boleh memudaratkan kesihatan.
Daripada Zaid bin Thabit, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Mengerjakan haji dan umrah itu dua fardu yang hanya sekali saja (bagi seseorang Muslim yang cukup syarat-syaratnya) bolehlah dikerjakan yang mana satu dulu (sama ada haji ataupun umrah). – (Hadis riwayat al-Dailami)
Hadis itu membawa beberapa maksud:
l Jika seseorang itu mengerjakan ibadat haji dulu dalam bulan-bulan haji kemudian mengerjakan umrah di tahun sama maka dinamakan haji Ifrad.
l Jika seseorang itu mengerjakan ibadat umrah dulu dalam bulan haji kemudian mengerjakan ibadat haji di tahun yang sama dinamakan haji Tamattu’.
Adapun cara mengerjakan haji dan umrah yang menjadi amalan rakyat Malaysia bolehlah dikategorikan kepada tiga perkara:
Haji Ifrad - mengerjakan haji dulu dalam bulan haji kemudian mengerjakan umrah.
Haji Tamattu - mengerjakan umrah terlebih dulu dalam bulan haji. Kemudian dikerjakan haji dalam tahun itu juga.
Haji Qiran - berniat mengerjakan haji dan umrah serentak dalam bulan haji dengan mengerjakan amalan-amalan haji saja atau berniat mengerjakan umrah tetapi sebelum tawaf ia berniat mengerjakan haji.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home