Friday, April 27, 2007

Makkah penempatan pertama manusia

Oleh Rosli Othman

Umat Islam dijanjikan pahala berlipat ganda bagi setiap ibadah di Tanah Haram

TANAH Haram bermaksud bumi yang dimuliakan. Haram di sini bermaksud haramnya melakukan sesuatu yang dibolehkan di Tanah Halal seperti memburu, mencabut dan memotong tumbuhan.

Di dalam Islam hanya ada dua tanah haram iaitu Makkah al-Mukaramah dan Madinah al-Munawarah. Mengunjungi kedua-dua tanah suci ini adalah impian hidup setiap Muslim.

Ia membenarkan doa Nabi Ibrahim seperti difirmankan dalam al-Quran: “Ya Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman dekat rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati, Ya Tuhan kami (yang demikian itu) agar mereka mendirikan solat, maka jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan berilah rezeki mereka dari buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur.” (Surah Ibrahim, ayat 37)

Makkah adalah salah satu dari dua tanah haram. Diriwayatkan, Nabi Adam dan Hawa hidup di Makkah apabila dipertemukan semula selepas turun ke bumi dari syurga. Justeru, ia adalah penempatan pertama manusia di dunia ini.

Keluasannya seluas 550 kilometer persegi. Sempadan tanah haram dapat dilihat jelas. Ia diletakkan sejak zaman Nabi Ibrahim, diperbaharui oleh Rasulullah (SAW), Umar, Othman, Muawiyah dan pemerintah Islam sepanjang zaman.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya negeri ini telah dijadikan Allah sebagai tanah haram semasa ia menciptakan langit dan bumi lagi. Maka ia adalah sebagai tanah haram sehinggalah hari kiamat.”

Pegangan Mazhab Syafie dan jumhur ulama berpendapat, Makkah adalah bumi Allah paling mulia. Imam Malik dan sebahagian ulama pula berpendapat Madinah adalah bumi yang paling mulia.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Demi Allah sesungguhnya engkaulah (wahai Makkah) sebaik-baik bumi Allah, bumi yang paling Allah kasihi, jika tidak kerana aku dikeluarkan darimu sekali-kali aku tidak akan keluar. (Riwayat al-Tirmizi dan an-Nasai)

Bumi Makkah amat istimewa, ia menjanjikan pahala berlipat ganda dan ganjaran bagi setiap kebajikan yang ditunaikan. Oleh itu, setiap jemaah mesti mengambil peluang ketika berada di sana menunjukkan rasa insaf dan bersyukur kerana terpilih sebagai tetamu Allah.

Ulama Hasan al-Basri menyatakan, “Sembahyang di Masjidil Haram lebih baik daripada 100,000 sembahyang, puasa di Makkah lebih baik daripada 100,000 puasa di tempat lain dan sedekah satu dirham lebih baik daripada 100,000 dirham dan setiap kebajikan digandakan sebanyak 100,000 kali.”

Berbanding dengan tanah halal, ada hukum khusus bagi Tanah Haram Makkah seperti dinyatakan Imam al-Nawawi:

  • Hendaklah berihram ketika memasuki Makkah. Sama ada ihram haji atau umrah. Ia adalah pandangan jumhur ulama. Namun, di dalam Mazhab al-Syafie hanya disunatkan berihram untuk memasuki Makkah jika kunjungan itu bukan bagi tujuan haji atau umrah.

    Bagi orang yang mengunjungi Makkah dengan niat menunaikan haji atau umrah, diwajibkan berihram sebelum melepasi miqat yang ditetapkan syarak iaitu sama ada di Yalamlam, Zatu Irqin, Juhfah, Zul Hulaifah atau Qarnul Manazil.

  • Diharamkan memburu binatang buruan di dalamnya sama ada menangkap, menghalau, membunuh atau membantu menangkapnya. Larangan ini terhadap semua manusia termasuk penduduk Makkah, miqat dan kawasan di antara miqat dan Makkah.

  • Diharamkan memotong, mematahkan dan mencabut pokok yang ada di Tanah Haram melainkan untuk tujuan diizinkan syarak.

  • Dilarang memindahkan batu dan tanah tanih dari Tanah Haram ke tanah halal fuqaha Mazhab Syafie berselisih pandangan adakah ia haram atau makruh. Namun Imam Nawawi menyatakan ia adalah haram di dalam Manasiknya.

  • Menurut pandangan Mazhab Syafei dan Mazhab Jumhur, orang kafir diharamkan memasuki Makkah walaupun untuk sekadar lalu.

  • Tidak boleh memungut barang ciciran yang dijumpai di Tanah Haram melainkan jika dapat dikembalikan kepada empunya.

  • Dilipatgandakan diat (ganti rugi) bagi kesalahan membunuh yang dilakukan di Tanah Haram.

  • Diharamkan mengebumikan mayat orang musyrik di Tanah Haram

  • Dam hanya boleh dilaksanakan di Tanah Suci Makkah

  • Penduduk Makkah tidak dikenakan dam Tamattuk dan dam Qiran

  • Tiada waktu larangan solat di Makkah dan seluruh Tanah Haram.

  • Wajib menunaikan nazar untuk mengunjungi Makkah sama ada dengan ihram haji atau umrah. Manakala bernazar hendak mengunjungi tempat lain adalah tidak harus kecuali bernazar ke Makkah, Madinah dan Masjidil Aqsa.

  • Wajib menunaikan nazar untuk berkorban di Makkah, manakala bernazar untuk berkorban di tempat lain boleh dilaksanakan di mana-mana saja.

    Masjidil Haram adalah tumpuan utama jemaah untuk beribadah ketika di Makkah. Kawasannya meliputi Kaabah, dataran Kaabah yang menjadi medan tawaf dan ruang solat di sekitar Kaabah. Masjidil Haram adalah masjid pertama dibina di atas muka bumi.

    Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Dari Abi Zar kata beliau: Aku bertanyakan Rasulullah SAW berkenaan masjid yang pertama dibina di atas muka bumi, Sabda Baginda SAW: Masjidil Haram, kemudian aku bertanya lagi: Selepas itu masjid mana? Sabda Baginda: Masjidil Aqsa, aku bertanya lagi: Berapakah tempoh antara keduanya. Sabda Baginda SAW: Empat puluh tahun. (Diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim)

    Perkataan Masjidil Haram disebut 15 kali dalam al-Quran. Ia menunjukkan kemuliaan dan keagungannya. Masjidil Haram dimuliakan sejak zaman sebelum Islam lagi.

    Orang Quraisy tidak akan memasukinya kecuali dengan menanggalkan kasut, dan tawaf dilakukan tanpa pakaian kerana mereka mempercayai pakaian mereka dikotori dosa. Orang lelaki melakukan tawaf pada siang hari, manakala wanita sebelah malam.

    Pada zaman Nabi Ibrahim hingga zaman Qusai, Masjidil Haram hanyalah sebuah kawasan tanah lapang tanpa sebarang bangunan.

    Ketika pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab pada tahun 17 Hijrah, kawasan Masjid Haram buat pertama kalinya diperluaskan.

    Umar membeli kawasan sekitarnya dan menjadikannya kawasan masjid serta dibina pagar di sekelilingnya.

    Umar turut memerintahkan supaya lampu dipasang di dindingnya.

    Pada zaman Khalifah Uthman Affan pada tahun 26 Hijrah, sekali lagi Masjidil Haram ditambah menjangkau 2,040 meter persegi dan anjungnya pula dipasangkan bumbung untuk melindungi orang yang solat daripada kepanasan matahari.

    Seterusnya, proses pembesaran Masjidil Haram dilakukan dari semasa ke semasa oleh khulafa dan pemerintah Islam.

    Mereka adalah Abdullah ibn Zubir pada tahun 65 Hijrah, Abd Malik ibn Marwan (75 Hijrah), Al Walib ibn Abd Malik (91 Hijrah), Abu Jaafar Al Mansur pada tahun 137, Muhammad Al Mahdi pada tahun 160H dan 164H, Al Mu`tadhid (284 Hijah), Al Muqtadir Billah (306 Hijrah), pemerintahan Mamalik (802 Hijrah), pemerintah Uthmaniah (979-984 Hijrah), Kerajaan Saudi (1375 Hijrah) dan kali kedua oleh Al Marhum Khadimul Haramain Raja Fahd ibn Abdul Aziz (Safar 1409 H/1988 Masihi – Zulkaedah 1413 Hijrah/1993 Masihi), yang menjadikan kawasan Masjidil Haram seluas 278,OOO meter persegi dan mampu menampung seramai 694,000 jemaah pada satu satu masa. Lapangan sekitarnya pula adalah seluas 366,000 meter persegi yang mampu menampung sejumlah 220,000 jemaah pada satu-satu masa.

  • Penulis ialah Pengkursus Ibadat Haji Lembaga Tabung Haji
  • Labels:

    0 Comments:

    Post a Comment

    << Home