Friday, May 11, 2007

Kursus Haji [3] - Ibadat Haji Umum

Ibadah Haji

1. Sebelum pergi siapkan barang2 yang hendak dibawa.

2. Mandi, berwudhu' dan berpakaian bersih seperti biasa sahaja jika akan terus ke Madinah.
-b. Jika akan ke Makkah mandi itu ialah mandi sunat ihram. niatnya:

"Sahaja aku mandi sunat ihram kerana Allah ta'ala."

3. Kemudian sembahyang safar,

"Sahaja aku sembahyang sunat safar kerana allah ta'ala"

Selepas salam baca doa musafir [lihat buku tabung haji] kemudian berwasiat kepada semua yang tinggal.

-b. Bagi mereka yang hendak terus keMekah sama ada Haji Ifrad atau Tamattuk eloklah pakai ihram dari rumah lagi.

Boleh sembahyang sunat ihram di rumah selepas/sebelum sembahyang musafir.
Jika dirasakan sempat sembahyang sunat ihram lakukan di Kelana Jaya. Untuk niat ihram umrah/haji elok tangguhkan sehingga dalam kapal terbang.

4. Tinggalkan rumah.

Jika ada orang azan, tunggu azan hingga selesai. Baca doa azan. Sebelum tinggalkan rumah baca doa:

bismillahir rahmanir rahim
bismillahi tawakkaltu allalah. wala haulawal kuwata illah billah.

5. Terus keluar menuju Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya.

6. Sampai diKompleks, ikut arahan. Pihak Tabung Haji akan mengadakan penerangan didewan dan pastikan yang kita ada bersama2 mendengar semua penerangan dan arahan serta doa.

7. Kemudian kita tinggalkan kompleks dan baca doa:

bismillahi tawakaltu ...

8. Sebelum berangkat keairport dan baca doa safar.

9. Didalam kapal terbang mereka yang telah memakai ihram akan diberitahu akan masa berniat UMRAH/HAJI. Waktu miqatnya akan diberitahu oleh juruterbang.

10. Sampai diJeddah ikut arahan. Orang2 yang ke Madinah akan dibawa keMadinah. Dan mereka yang terus keMekah akan dibawa ke Mekah.

Labels:

Tuesday, May 08, 2007

Kursus Haji [2] - Pendahuluan





Pendahuluan


Haji adalah daripada perkataan 'hajat' - sesuatu yang sangat dipelukan.

Sesuatu yang sangat diperlukan itu tidak mudah bagi kita melakukan. Tidak semua orang boleh melakukannya jika tidak ada azam yang kuat dan perlu ada pengorbanan yang banyak.

Orang2 yang tidak mengerjakan haji sebenarnya adalah kurang azam dan kurang usaha. Allah telah memberi kita rezeki yang luas, terpulanglah kepada kita mencarinya.

Orang2 yang sudah berusaha tetapi tidak mampu juga, maka tidaklah brdosa jika tidak mengerjakan haji.

Sebaliknya orang yang mampu tetapi tidak mahu mengerjakan haji maka adalah berdosa malahan ditakuti kalau mati termasuk mati jadi Yahudi atau Nasrani [hadis].

Ibadat haji telah dikerjakan sejak adanya manusia didunia ini - iaitu Nabi Allah Adam dan Hawa. Dimana Adam dan Hawa telah ditemukan oleh Tuhan dipadang Arfah [Jabal Rahmah] setelah terpisah lama lama sejak turun dari syurga.

Qabil dan Habil anak Nabi Adam telah diperentahkan berkorban bagi menunaikan hajat hendak memperisterikan seorang perempuan yang lawa. Dan salah seorang yang berkorban dari jenis yang baik dan ikhlas telah diterima Tuhan [Habil].

Oleh itu dalam menunaikan haji maka wang perbelanjaan kita hendaklah dari wang yang suci, halal serta ikhlas dimasa mengerjakannya.

Kemudian ibadat dan haji dilanjutkan pula oleh Nabi2 dan Rasul2 serta umatnya turun temurun hingga sampai kepada Nabi Allah Ibrahim dan puteranya Nabi Ismail.

Junjungan besar Nabi Muhammad saw telah mengikut silah Ibrahim [ugama] maka ibadat hajinya adalah sama seperti ibadat haji yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim Halilullah.

Sebelum Nabi berpindah keMadinah - ibadat haji digunakan sebagai mengambil peluang bertemu dengan orang2 dari luar Mekah khususnya dari Madinah untuk mengajak mereka dalam ugama tauhid [menyatu padukan umat]. Ternyata perkara ini berjaya hingga Islam dapat disebar keseluruh alam dari sokongan orang2 Madinah yang berkunjung keMekah kerana mengerjakan Haji. Dan inilah sebenarnya yang orang2 kafir takut atau segan kepada orang2 Islam kerana kita mempunyai persatuan sejagat dimana tiap2 tahun kita berhimpun diMekah dan semakin hari yakni dari tahun ketahun semakin bertambah banyak bilangan orang2 yang mengerjakan haji.

Maka sungguh elok kalau kita dalam mengerjakan haji boleh mengambil peluang berkenal2an dengan orang haji yang datang dari negara2 lain bagi mengenali cara hidup saudara2 kita sesama islam dinegara mereka.

Dan ini memang dituntut oleh islam, maksud firman Allah:

Kami jadikan kamu berpuak2 dan berbangsa2 adalah untuk berkenal2an antara satu dengan lain.

Dan fimannya:

Sesungguhnya orang yang beriman itu bersaudara

Hadis Nabi bermaksud:

Orang mukmin dengan mukmin yang lain adalah ibarat sebuah binaan yang mana sebahagian rangka sendi binaan itu adalah menguatkan yang lain.

Demikian secara umum ringkasan sejarah ibadat haji.

Wabillahi taufik walhidayat

Labels:

Monday, May 07, 2007

Kursus Haji [1] - Sepatah kata

Kursus Haji

Sepatah Kata





Saya nukil risalah ini dari kitab karangan guru saya AlFadhil AlUlama AsSheikh Abdul Hamid Muhamad Amin Albanjri, Makkatul Mukarramah dari risalah asal bertajuk 'Attabsirah' untuk Kursus Bakal Haji Qariyah Masjid Darul Ihsan Subang Jaya.

Ustaz Haji Hanbali Abdul Salam

Labels:

Friday, May 04, 2007

Batu 5 gunung asas binaan Kaabah

Oleh Rosli Othman

Kepelbagaian nama, panggilan menunjukkan kehebatan, kemuliaan


KAABAH adalah bangunan paling mulia dalam Masjidil Haram, menjadi kiblat seluruh kaum muslimin di dalam solat mereka. Kaabah adalah rumah ibadat pertama yang dibina di muka bumi.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya rumah ibadat pertama yang didirikan untuk manusia adalah yang terdapat di Bakkah, yang penuh keberkatan sebagai petunjuk kepada seluruh alam. Padanya terdapat tanda kekuasaan Allah, Maqam Ibrahim, barang siapa yang memasukinya ia dijamin keamanannya.”

Bangunan Kaabah dibina daripada batu batan yang diambil daripada lima gunung iaitu Gunung Lubnan, Tur Zalta, Tun Sina, Judi dan Hira’.

Menurut sebahagian ulama, sebelum pembinaan Kaabah oleh Nabi Ibrahim, Kaabah dibina sebanyak tiga kali iaitu oleh malaikat, Nabi Adam dan Nabi Shith. Kaabah hasil binaan Nabi Shith kekal beribu tahun lamanya sehinggalah banjir besar pada zaman Nabi Nuh memusnahkannya.

Menurut Al-Nawawiyy, Kaabah dibina sebanyak lima kali, pertama oleh malaikat atau Nabi Adam atau Shith bin Adam seperti yang di sebut al-Suhailyy, kedua binaan Nabi Ibrahim, ketiga binaan Quraisy, keempat binaan Ibn Zubair dan terakhir binaan al-Hajjaj bin Yusuf al-Thaqaflyy. Struktur binaan terakhir inilah yang ada hingga ke hari ini.

Namun, binaan Kaabah sebenarnya pernah mengalami pembaikan besar pada zaman Sultan Murad Keempat daripada pemerintahan Uthmaniyyah. Pada tanggal 19 Syaaban 1039 Hijrah, berlaku banjir besar yang menyebabkan seramai lebih daripada 1,000 jemaah terkorban. Pembaikan itu siap pada Ramadan tahun berikutnya.

Pada zaman pemerintahan Kerajaan Saud, Kaabah mengalami dua kali pembaikan iaitu ketika pemerintahan Raja Saud bin Abd Aziz pada 1377 Hijrah/1956 Masihi kerana berlaku keretakan di beberapa bahagian dinding dan bumbung Kaabah. Baginda memerintahkan supaya pembaikan dilakukan.

Kedua, pada zaman pemerintahan Raja Fahd bin Abd Aziz. Kaabah sekali lagi mengalami kerosakan akibat binaannya yang terlalu lama sejak zaman Sultan Murad IV. Lantaran, pada 1417 Hijrah/1996 Masihi baginda memerintah pembaikan dilaksanakan.

Kaabah mendapat perhatian pemerintah Islam sepanjang zaman kerana pembinaannya semata-mata untuk beribadat kepada Allah. Ini dipaparkan dalam doa Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail ketika mereka membina Kaabah.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan (Ingatlah), ketika Ibrahim meninggikan (membina) dasar Baitullah bersama Ismail (seraya berdoa): “Ya Tuhan kami terimalah daripada kami (amalan kami), Sesungguhnya Engkaulah yang Maha mendengar lagi Maha Mengetahui. Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang yang tunduk patuh kepada Engkau dan (jadikanlah) di antara anak cucu kami umat yang tunduk patuh kepada Engkau dan tunjukkanlah kepada kami cara dan tempat ibadat haji kami, dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang. Ya Tuhan kami, utuslah untuk mereka seseorang Rasul dari kalangan mereka, yang akan membacakan kepada mereka ayat Engkau, dan mengajarkan kepada mereka al-Kitab (al-Quran) dan Al-Hikmah (As-Sunnah) serta menyucikan mereka. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Baqarah, ayat 127-129)

Justeru, pengunjung Makkah perlu memelihara diri, tingkah laku, pekerjaan syirik dan dosa kerana Kaabah dibina untuk menafikan syirik dan mendirikan ibadat semata-mata kepada Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan (ingatlah), ketika kami memberikan tempat kepada Ibrahim di tempat Baitullah (dengan menyatakan): “Janganlah kamu mempersarikatkan (menduakan) sesuatu pun dengan aku dan sucikanlah rumah-Ku. Ini bagi orang yang tawaf, dan orang yang beribadat dan yang rukuk serta sujud.” (Surah al-Hajj, ayat 26)

Ketinggian binaan Kaabah adalah 14 meter, manakala panjangnya Hajarul Aswad ke Rukun Iraqi adalah 12.84 meter. Ukuran dari Rukun Iraqi ke Rukun Syami adalah 11.28 meter. Ukuran di antara Rukun Syami dan Rukun Yamani adalah 12.11 meter, manakala ukuran panjang antara Rukun Yamani hingga ke Hajarul Aswad adalah 11.52 meter.

Terdapat pelbagai nama dan panggilan yang merujuk kepada Kaabah. Kepelbagaian nama itu menunjukkan kehebatan dan kemuliaan Kaabah. Antaranya:

# Al-Bait – yang bermaksud rumah.

# Baitullah – yang bermaksud rumah Allah.

# Al-Bait al-Haram – yang bermaksud rumah yang mulia.

# Al-Bait al-Atiq – yang bermaksud rumah lama yang mulia.

# Al-Qiblah – yang bermaksud kiblat.

Keseluruhannya Kaabah adalah suatu binaan mulia yang penuh dengan keberkatan. Al-Tabrani meriwayatkan di dalam Al Mu`jam Al Kabir dari Ibn Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menurunkan 120 rahmat ke atas Kaabah setiap hari, 60 untuk orang yang melakukan tawaf, 40 untuk orang yang solat dan 20 untuk orang yang memandangnya.”

Namun, terdapat beberapa bahagian Kaabah yang menjadi tumpuan dan perhatian lantaran kelebihan dimilikinya.

# Hajarul Aswad – sepotong batu berasal dari syurga. Warna asalnya lebih putih daripada putih susu. Dikatakan ia menjadi hitam kerana luruhnya dosa manusia yang mengucupnya.

Pelbagai peristiwa sejarah dilalui Hajarul Aswad. Hinggalah ke hari ini, yang masih tinggal daripada Hajarul Aswad adalah lapan kepingan sebesar biji tamar yang diikat pada lilin yang dicampur kasturi di dalam lingkungan perak. Sesiapa yang ingin mengucupnya hendaklah meletakkan mukanya ke atas kepingan itu.

# Rukun Yamani – penjuru Kaabah yang berbetulan dengan Rukun Hajarul Aswad bagi orang sedang tawaf. Ia salah satu daripada dua rukun yang didirikan di atas asas binaan Nabi Ibrahim. Rasulullah SAW menyentuh rukun itu ketika tawaf.

# Hijir Ismail – pada asalnya termasuk dalam binaan Kaabah yang dibina Nabi Ibrahim. Ia dikeluarkan daripada Kaabah ketika binaan Quraisy. Justeru, solat di dalamnya menyamai solat di dalam Kaabah.

# Multazam – kawasan hadapan Kaabah di antara Hajarul Aswad dan pintu Kaabah. Dikatakan Multazam adalah kawasan yang paling mustajab doa.

Menurut sebahagian riwayat, orang Quraisy sebelum Islam menjadikan Multazam tempat melafazkan sumpah terutama bagi menyelesaikan perbalahan di kalangan mereka.

# Mizab – pancuran emas yang diletakkan bagi menjadi laluan air daripada bumbung Kaabah masuk ke dalam Hijir Ismail. Menurut sebahagian pendapat, di bawahnya adalah di antara tempat paling mustajab doa.

# Syazarwan – jubin yang dibina di bahagian bawah dinding Kaabah. Tingginya kira-kira dua kaki. Ia diletakkan untuk menandakan saiz asal Kaabah yang dikurangkan ketika binaan Quraisy berbanding binaan Nabi Ibrahim. Justeru, ia adalah sebahagian daripada Kaabah. Bertawaf di atasnya atau sebahagian anggota badan di atasnya menyebabkan tawaf tidak sah.

# Kiswah – kelambu atau tutupan yang diletakkan di atas Kaabah. Diriwayatkan, orang pertama yang meletakkan kiswah Kaabah adalah tubba’ al-Himyariyy As’ad Abi Karb. Rasulullah sendiri mengkiswahkan Kaabah begitulah dilakukan khulafa dan pemerintah Islam dari dulu hingga kini.

Kini, kiswah Kaabah dibuat di sebuah kilang khas di Makkah. Ia mula dibuat kilang pada 1346 hingga 1357 Hijrah. Kemudian terhenti seketika dan kiswah diperbuat di Mesir. Ia beroperasi semula pada 1382 Hijrah. Pada 1397 Hijrah /1977 Masihi, sebuah kilang baru untuk kiswah dibina di Umm al Jud dan beroperasi hingga hari ini.

Kiswah Kaabah diperbuat daripada 658 kilogram sutera mentah yang ditenun. Ukurannya setelah siap ditenun adalah 658 meter persegi. Kos pembuatannya sebanyak 17 juta riyal Arab Saudi yang dibelanjakan setiap tahun. Kiswah akan diganti dengan yang baru pada pagi 9 Zulhijah (hari Wukuf) setiap tahun.

# Maqam Ibrahim - batu yang terdapat kesan dua tapak kaki Nabi Ibrahim. Batu itu kini diikat dengan perak dan diletakkan dalam sebuah tempat diperbuat daripada tembaga berwarna keemasan.

Menunaikan solat di sisi Maqam Ibrahim mempunyai kelebihan yang besar. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan ingatlah ketika kami jadikan Baitullah sebagai tempat berhimpun bagi manusia dan tempat yang aman. Dan jadikanlah sebahagian dari Maqam Ibrahim sebagai tempat solat.” (Surah al-Baqarah, ayat 125)

# Telaga Zamzam – terdapat di hadapan Kaabah di kawasan antara Hajarul Aswad dan Multazam. Ia dikatakan terbit daripada terjahan kaki Nabi Ibrahim dan ada riwayat menyatakan ia terbit hasil daripada pukulan sayap Jibrail.

Kelebihan air daripada telaga Zamzam ini dinyatakan di dalam hadis Nabi SAW. Ia adalah air yang terbaik di atas muka bumi dan meminumnya boleh menyembuhkan penyakit dengan izin Allah.

Demikianlah sorotan sejarah Tanah Haram dan kelebihan Masjidil Haram. Jemaah Haji mahupun Umrah hendaklah menginsafi kemuliaan Tanah Haram. Mereka sewajarnya memelihara adab dan perilaku sebagai tetamu Allah sepanjang berada di Tanah Haram. Semoga jemaah dapat menghayati, mendalami makna dan tujuan menunaikan haji dan umrah.

Penulis ialah Pengkursus Ibadat Haji, Lembaga Tabung Haji

Labels: