Friday, December 15, 2006

Oman - negara anbiya

Oman mempunyai banyak tempat bersejarah dan makam peninggalan nabi yang masih utuh dan dipulihara dengan baik untuk tarikan pelancong dan menjadi iktibar, khususnya kepada umat Islam. Lebih istimewa kunjungan ke makam nabi itu membolehkan kita berada di situ selama mana mungkin untuk membaca Yasin dan al-Fatihah tanpa gangguan pengawal keselamatan.

Bagi penulis, kunjungan ke Oman cukup menarik kerana berpeluang mengunjungi makam Nabi Ayub dan Nabi Imran yang sebelum ini hanya diketahui melalui bacaan dan siri Jejak Rasul, disiarkan TV3.

Kedua-dua makam itu terletak di Salalah di wilayah Dhofar di Selatan Oman, kira-kira 1,040 kilometer (km) dari Muscat. Penulis dibawa oleh Pegawai Kementerian Penerangan, Abdullah Al-Rayas yang menemani penulis sepanjang lawatan ke wilayah itu.

Menariknya, Abdullah mempunyai banyak maklumat mengenai kisah nabi dan sepanjang perjalanan penulis asyik mendengar beliau menceritakan kisah nabi yang diselang seli dengan ayat al-Quran.

Memandangkan penulis tiba jam 5 petang, suasana mulai gelap sepanjang perjalanan mendaki gunung Ittin. Persekitaran sunyi dengan kabus yang menyelubungi membuatkan penulis berdebar-debar setiap kali ada kenderaan muncul dari arah bertentangan.

Abdullah memberitahu, suasana nampak gersang kerana menghampiri musim sejuk tapi jika musim Monsun, iaitu Jun dan Julai keadaan landskap di seluruh pergunungan itu diselaputi tumbuhan menghijau dan bunga pelbagai warna.

Sebaik tiba di pergunungan itu, penulis memasuki kawasan makam yang berpagar dan menyusuri laluan kecil di tepi sebuah masjid yang sederhana besarnya sebelum tiba di satu lagi bangunan kecil. Di situlah letaknya makam Nabi Ayub.

Abdullah membuka penutup di pintu masuk makam itu dan menunjukkan kesan tapak kaki Nabi Ayub yang melekat pada tanah dan disimen. Kami memasuki makam itu dan membaca al-Fatihah bersebelahan kuburnya yang dijaga rapi.

Di luar makam itu, Abdullah menunjukkan ruang kecil tempat Nabi Ayub bermunajat dan
bersembahyang. Ada dua lekuk pada dindingnya seolah-olah mimbar dari arah bertentangan.

“Di sinilah baginda bersembahyang menghadap ke Baitulmaqdis sebelum mendapat perintah Allah supaya mengalih arah kiblat ke Masjidil Haram,” katanya.

Mengikut riwayat, Nabi Ayub diuji dengan pelbagai bencana yang memusnahkan ternakan, harta benda dan kekayaannya. Malah, semua anaknya meninggal dunia gara-gara iblis yang mahu menguji ketaatan baginda kepada Allah.

Selepas semua ujian itu gagal meruntuhkan keimanan dan ketaatan Nabi Ayub kepada Allah, iblis memohon kepada Allah untuk meniupkan udara beracun yang menyebabkan baginda ditimpa penyakit kulit sehingga berbau busuk dan kulitnya terlerai daripada tubuh.

Berkat kesabaran dan doa yang tidak pernah putus, Iblis akhirnya mengalah dan mengakui kehebatan iman Nabi Ayub yang tinggi. Allah membalas kesabaran dan ketaatan baginda dengan memerintahkan Nabi Ayub mandi di sebuah wadi di lembah pergunungan Ittin sekali gus menukarkan baginda kepada seorang lelaki yang gagah dan muda.

Ia membuatkan isterinya menangis kerana mengenangkan bagaimana untuk hidup bersama dengan pemuda itu sedangkan dirinya sudah tua. Nabi Ayub membawa isterinya ke wadi itu dan Siti Sarah bertukar menjadi wanita muda.

Mereka kemudian menjalani kehidupan seperti asal mendapat semula kekayaan dan harta serta dikurniakan ramai anak.

Penulis juga berkunjung ke sebuah masjid yang banyak menyimpan pelbagai kisah silam dikenali Masjid Imran disebabkan kedudukannya hampir dengan makam Imran. Saiz Makam Imran begitu ganjil kerana ia terlalu panjang, dianggarkan hampir 30 meter.

Berdasarkan catatan sejarah, Imran adalah bapa Siti Mariam, iaitu ibu dan wanita pilihan Allah. Baginda juga adalah datuk Nabi Isa. Pengkaji sejarah turut menjelaskan bahawa makam itu sudah wujud sejak 2,000 tahun lalu, iaitu beberapa tahun sebelum kelahiran Nabi Isa.

Isteri baginda, Hannah, sentiasa bersedih kerana beliau didakwa mandul. Namun, mereka tidak pernah berputus asa dan sentiasa berdoa kepada Allah agar dikurniakan anak. Selepas sekian lama berdoa dan bersabar, akhirnya Allah memakbulkan doa mereka.

Namun, hajat Imran untuk melihat anaknya tidak kesampaian kerana baginda wafat ketika Hannah sedang mengandung. Sesungguhnya makam ini menjadi bukti dan iktibar kesabaran seorang insan menghadapi ujian lambat dikurniakan anak.

Allah membalas kesabaran baginda dengan memuliakan diri dan seluruh keluarga baginda dengan menamakan satu surah dalam al-Quran, iaitu surah Ali – Imran.

Satu peninggalan sejarah yang amat menakjubkan di Salalah ialah kesan tapak kaki unta yang berasal daripada unta yang disembelih kaum Nabi Salleh. Sejarah mencatatkan bahawa unta berkenaan dikurniakan Allah kepada baginda sebagai balasan ketabahan baginda menyeru kaum Thamud beriman kepada Allah.

Nabi Salleh memberi amaran bahawa kaum Thamud akan dibinasakan Allah jika unta berkenaan disembelih.

Bagaimanapun, mereka tidak menghiraukan arahan baginda lalu membunuhnya malah turut
merancang membunuh Nabi Salleh. Akhirnya, Allah menurunkan bala berupa ribut taufan kepada kaum berkenaan, sekali gus melenyapkan mereka dari muka bumi ini.

Berhampiran dengan kesan tapak kaki unta, ada kesan darah yang dikatakan tidak hilang
walaupun dibasuh beberapa kali. Ia adalah darah kesan panahan pertama Mushadda' Muharrij, iaitu individu yang mengetuai pakatan sulit membunuh unta berkenaan.

Nabi Salleh dan kaumnya tinggal di lereng lembah di pergunungan Dhofar, kira-kira 165 km dari Bandar Salalah dikenali Lembah An Hoor sehingga akhir hayat. Panjang kuburnya adalah 8.8 meter dan lebarnya 1.5 meter. Nama Nabi Salleh disebut sembilan kali dalam al-Quran dan kisahnya diceritakan dalam surah Al-Ahqaf, yang juga kawasan pergunungan bersebelahan Yaman.

Penduduk tempatan juga percaya Makam Nabi Hud terletak di Gunung Dhofar antara bukit dan lembah serta kawasan yang sentiasa subur diliputi bunga. Panjang kubur Nabi Hud tiga meter manakala lebarnya 1.5 meter.

Nama Nabi Hud disebut tujuh kali dalam al-Quran. Nabi Hud dihantar kepada kaum Aad di Al Ahqaf, iaitu wilayah bersempadanan dengan Yaman, Arab Saudi dan Oman.

Mereka tinggal di Ahqaf, sebelah Yaman, dari barat Semenanjung Arab, di utara Hadramaut, timur Oman. Tempat itu dikatakan asalnya padang pasir yang tandus, tetapi kemudian bertukar menjadi makmur dan dipenuhi kenikmatan.

Kaum Aad dikurniakan badan kuat dan kebolehan mendirikan bangunan yang tinggi dan besar.

Malangnya, disebabkan terlalu banyak kesenangan mereka menjadi sombong dan bongkak sehingga mempertikaikan kekuasaan Allah.

Penyelewengan menjadi tabiat mereka dan dilakukan secara berterusan, manakala perintah Allah dan nasihat rasul langsung tidak diambil peduli. Mereka golongan pertama yang menyembah patung selepas peristiwa banjir besar pada zaman Nabi Noh.

Bukan setakat tidak mahu mendengar nasihat Nabi Hud, segala amaran menjadi bahan mainan dan sampai satu tahap mereka mencabar pula ancaman itu.

Allah mengirimkan awan tebal dari langit sehingga menimbulkan kelainan dan ketakutan kepada mereka sebelum angin bertiup kencang dan membinasakan mereka.

Selama tujuh malam tujuh hari mereka dibelenggu bencana dan memusnahkan apa saja hidupan di muka bumi dan yang tinggal hanya bekas tempat tinggal mereka.

Tetapi Hud dan orang beriman diselamatkan Allah daripada seksaan itu Selepas kaum Aad
binasa, Hud tinggal di Hadramaut sehinggalah baginda meninggal dunia dan dimakamkan di timur Hadramaut.

Dua hari berada di bumi Dhofar cukup memberi kepuasan kerana penulis melihat sendiri
peninggalan sejarah anbiya dan menghayati kisah mereka yang menginsafkan.

Oleh Minarni Mat Saad

0 Comments:

Post a Comment

<< Home