Sunday, February 18, 2007

Salam!

Hukum memberi salam adalah sunat muakkad. Menjawab salam pula adalah wajib.

Firman Allah bermaksud: "Apabila kamu masuk ke dalam rumah seseorang, hendaklah kamu beri salam sebagai satu penghormatan yang berkat dan baik di sisi Allah.” (Surah an-Nur, ayat 61)

Firman Allah bermaksud: “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat seperti (memberi salam) maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.” (Surah an-Nisa', ayat 86)

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Wahai manusia, sebarkanlah salam, berilah makan, hubungkanlah silaturrahim dan bangunlah solat malam.” (Riwayat Abdullah bin Salam)

Beberapa adab tertentu memberi salam antaranya ialah:-

# Jika satu kumpulan menerima salam memadailah seorang saja yang menjawabnya.

# Cara memberi salam yang sebaiknya ialah ‘Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh’.

# Orang berkenderaan dituntut memberi salam kepada orang yang sedang berjalan

# Orang berjalan dituntut memberi salam kepada orang yang duduk.

# Orang perseorangan dikehendaki memberi salam kepada orang yang ramai.

# Harus memberi salam kepada golongan wanita ajnabi jika tiada kemungkinan ia membawa kepada fitnah.

# Memberi salam hendaklah dengan suara nyaring dan menjawabnya dengan serta-merta.

Diantara fadilat memberi salam:

# Mempereratkan silaturahim sesama Islam.

Kata Saidina Umar, “Ada tiga perkara yang boleh menjernihkan kamu terhadap kecintaan terhadap saudaramu iaitu hendaklah kamu memberi salam ketika bertemu, hendaklah kamu meluaskan tempat duduknya di dalam majlis dan hendaklah memanggilnya dengan nama yang dia sukai.”

# Salam boleh menghilangkan permusuhan, dendam, iri hati, prasangka buruk

# Menghilangkan perasaan takbur, bongkak seterusnya mengembalikan sifat rendah diri.

# Salam boleh menambahkan kenalan.

Sabda Rasulullah diriwayatkan Abdullah bin Amru yang bermaksud: “Seorang lelaki datang menemui Rasulullah, lalu dia bertanya, Apakah perbuatan terbaik dalam Islam?. Lalu jawab Baginda, memberi makan, mengucap salam kepada kenalanmu dan orang yang tidak kamu kenali.”

# Salam adalah doa dan pengikat kasih sayang sesama umat.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Dari zat yang jinak dalam kekuasaannya, tidak semua dapat memasuki syurga sehingga kamu semua beriman dan sayang menyayangi sesama kamu. Bukankah kamu suka kalau kami tunjukkan kamu amalan yang apabila kamu lakukan akan lahirlah perasaan cinta dan sayang sesama kamu?”

Lalu seorang sahabat bertanya: “Apakah itu ya Rasulullah?”

Jawab baginda, “Syiarkanlah salam di antara kamu.”

Rujukan:
Wan Marzuki Wan Ramli

0 Comments:

Post a Comment

<< Home