Monday, January 29, 2007

Puasa Asyura!

Terdapat banyak kisah yang dikaitkan dengan hari Asyura. Namun cerita yang sahih adalah peristiwa Nabi Musa a.s diselamatkan dari tentera Firaun.

Nabi s.a.w. datang ke Madinah, dan dilihatnya orang-orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Menurut mereka: Ini hari baik di saat mana Allah membebaskan Nabi Musa dari Firaun.

Maka sabda Nabi s.a.w.: Kamu lebih berhak terhadap Musa daripada mereka maka berpuasalah. (Riwayat Bukhari no: 4680).

Melalui hadis di atas kita difahami bahawa berpuasa pada hari Asyura ini memiliki kelebihan atau fadilat yang begitu besar.

Ibnu Abbas r.a. pernah ditanya mengenai masalah berpuasa pada hari Asyura. Beliau menjawab: Aku tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w. berpuasa sehari pada hari Asyura untuk mencari kelebihan atau fadilat yang tidak ada pada hari-hari selain hari ini. (Riwayat Bukhari, no: 2006).

Sabda Rasulullah s.a.w.: Puasa tiga hari dari setiap bulan sejak dari Ramadan ke Ramadan berikutnya dianggap berpuasa setahun penuh. Sedangkan puasa hari Arafah pahalanya menurut Allah dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya dan setahun sesudahnya.
Adapun puasa hari Asyura, pahalanya menurut Allah dapat menghapuskan dosa setahun sebelumnya. (Riwayat Muslim, no: 1163).

Dari Ibnu Umar r.a, dia berkata: Tidaklah seorang hamba berpuasa di dalamnya (hari Asyura) kecuali puasanya akan memberikan taufik kepadanya. (Riwayat Bukhari no: 1892).

Disunatkan juga untuk menambahkan puasa pada hari Asyura tersebut dengan berpuasa sehari sebelum ataupun sehari sesudahnya. Rasulullah s.a.w. memerintahkan hal ini bertujuan untuk menyelisihi amalan orang Yahudi.

Rasulullah s.a.w. bersabda: Berpuasalah kamu pada hari Asyura dan berselisihlah dengan orang Yahudi di dalamnya, dan berpuasalah sehari sebelumnya atau sehari sesudahnya. (Riwayat Imam Ahmad, no: 2047).

0 Comments:

Post a Comment

<< Home